EXCO Perumahan dan Kebudayaan Borhan Aman Shah (tiga, kanan) serta Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman(dua, kanan) melakukan gimik ketika perhimpunan solidariti terhadap Gaza di Universiti Selangor (Unisel) kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 29 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor kumpul dana bina masjid di Gaza, seru sumbangan ramai

KUALA SELANGOR, 29 APRIL: Kerajaan Selangor mengumpul dana bagi pembinaan masjid, pangsapuri dan tangki air di Gaza, Palestin.

Justeru, EXCO perumahan dan kebudayaan menyeru orang ramai menyumbang ke Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza bagi merealisasikan hasrat itu.

“Kita menyasarkan dapat kumpul sekurang-kurangnya RM8.7 juta bagi pembangunan tersebut dan setakat ini jumlah terkumpul adalah hampir RM3 juta.

“Saya menyeru semua lapisan masyarakat di Selangor mahupun Malaysia untuk menyumbang ke tabung tersebut bagi membantu penduduk di negara itu,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Perhimpunan Solidariti Gaza Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya di sini hari ini.

Mahasiswa mengangkat plakad tertera pelbagai perkataan sempena perhimpunan solidariti terhadap Gaza di Universiti Selangor (Unisel) kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 29 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Borhan menjelaskan Kerajaan Negeri telah berbincang dan berhasrat menjadikan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebagai model pembangunan masjid di Gaza.

“Insya-Allah, apabila dananya sudah mencukupi kita menunggu masa sesuai dan ‘lampu hijau’ daripada pihak pentadbiran di Gaza untuk serahkan dana ini dan mulakan pembangunan,” katanya.

Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melancarkan Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza yang akan diselaras Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) supaya dana diurus secara tersusun, bertanggungjawab, telus dan lancar.

“Sumbangan boleh disalur ke nombor akaun 562106718620. Beta mendoakan semoga Allah SWT memberi ganjaran amal soleh atas infak yang disumbangkan rakyat negeri Selangor dalam membantu umat Islam di Gaza,” titah Baginda.

Terdahulu, Borhan memuji usaha warga Unisel menganjurkan perhimpunan solidariti Gaza yang mengumpulkan lebih 1,000 mahasiswa dan kakitangan.

Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman

“Ia jelas menunjukkan warga Unisel begitu prihatin terhadap penganiayaan dan penindasan rakyat di Palestin, ini satu inisiatif yang harus dipuji, tahniah Unisel,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Unisel Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata ia merupakan perhimpunan julung kali diadakan secara besar-besaran melibatkan mahasiswa dan kakitangan daripada pelbagai kaum.

“Ini bukan lagi isu agama tetapi ia melibatkan isu kemanusiaan. Ada manusia dizalimi, dianiaya, dibunuh di Gaza. Jadi, warga Unisel hari ini turun beramai-ramai menunjukkan tanda solidariti,” jelasnya.


Pengarang :