Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kuala Kubu Baharu di Masjid Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor pada 30 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Temani ibu ke jualan murah lebih 50 kali sejak tahun lalu

HULU SELANGOR, 30 APRIL: Seorang pemuda ‘mencuri masa’ menemani ibunya yang uzur mengunjungi program Jualan Ehsan Rahmah (JER) lebih 50 kali sejak tahun lalu.

Amin Muthar, 33, berkata ibunya, Roslaini Husman, 70, suka membeli barangan asas di program jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKPS) itu.

“Sudah lebih 50 kali saya bawa ibu ke JER. Ibu suka ke sini dan beli pelbagai barangan harian. Jadi saya curi masa temani ibu kerana ibu sudah uzur.

Amin Muthar, 33, ditemui pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kuala Kubu Baharu di Masjid Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor pada 30 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kami tinggal di Ulu Yam Lama. Setiap hari kami cari lokasi JER yang berhampiran. Setakat ini kami pernah ke jualan murah di Rawang dan Selayang, itu yang paling jauh,” katanya.

Kedua-duanya ditemui selepas melakukan pembelian di program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu di perkarangan Masjid Bandar Utama Batang Kali di sini, hari ini.

Sementara itu, ibu tunggal, Normi Norman, 53, berkata beliau suka mengunjungi jualan murah anjuran Kerajaan Negeri itu kerana boleh berjimat.

Menurutnya, antara produk yang paling digemari adalah beras jenama Ehsan yang disifatkan sebagai barangan berkualiti dan harganya murah berbanding pasaran.

Normi Norman, 53, ditemui pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kuala Kubu Baharu di Masjid Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor pada 30 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya suka datang JER kerana harganya murah. Tetapi kalau dapat diadakan lebih kerap lebih bagus. Saya paling suka beras Ehsan kerana murah dan berkualiti.

“Kalau di pasar raya, semua beras berharga RM20 ke atas tetapi di sini saya boleh dapat dengan hanya RM13 dan harga itu tidak boleh didapati di mana-mana,” katanya.

Bagi pesara, Yusof Ayob, 71, beliau berharap harga produk barangan asas yang ditawarkan di program JER dapat dicontohi pengusaha pasar raya dan peniaga di seluruh negara.

“Saya harap jualan JER dapat dikembangkan ke pasar raya lain untuk memudahkan rakyat beli. Harga di sini murah tetapi kalau dapat harga sama di pasar raya atau tempat lain, lebih baik,” katanya.

Yusof Ayob, 71, ditemui pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kuala Kubu Baharu di Masjid Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor pada 30 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS pernah menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.

Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri pada tahun lepas.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kuala Kubu Baharu di Masjid Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor pada 30 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kuala Kubu Baharu di Masjid Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor pada 30 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :