SELANGOR

Anak syarikat Perangsang Selangor tubuh kemudahan pembuatan tilam pertama di AS

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 16 JAN: Anak syarikat Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (Perangsang Selangor), King Koil Licensing Company Inc (KKLC) merancang strategi baru perniagaannya dalam industri pembuatan tilam ke Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pegawai Eksekutif Perangsang Selangor, Ahmad Fariz Hassan berkata, syarikat itu akan mewujudkan kemudahan pembuatan tilam yang pertama bagi pengedaran langsung di negeri barat AS pada suku kedua 2018.

“Pembuatan tilam secara dalaman dan jualan terus kepada peruncit akan membolehkan KKLC mempunyai kawalan yang lebih besar ke atas kualiti produk dan pengedaran pasaran di sana.

“KKLC turut akan membentuk kerjasama strategik dengan Blue Bell Mattress iaitu antara pemegang lesen berprestasi tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Fariz berkata, strategi baru itu akan memberi asas pendapatan yang lebih besar kepada KKLC.

“Untuk jangka masa panjang, kita menjangkakan pertumbuhan yang mampan berikutan kawalan lebih besar ke atas kualiti produk serta pengedaran yang akan membawa keuntungan lebih tinggi,” katanya.


Pengarang :