GLOBAL

Arab Saudi bebas saki baki tahanan dari Hotel Ritz-Carlton

RIYADH 31 JAN: Pihak berkuasa Arab Saudi membebaskan semua saki-baki tahanan dari Hotel Ritz-Carlton, Riyadh yang digunakan sebagai pusat soal siasat dalam kempen membanteras rasuah, kata seorang pegawai tempatan semalam.

Ia membayangkan penyingkiran selama tiga bulan itu yang menyaksikan berpuluh-puluh pegawai kanan dan ahli perniagaan ditahan hampir berakhir.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan beberapa pegawai penyiasat sebelum ini berkata, semua mereka ditahan dalam usaha pihak berkuasa untuk mendapatkan semula kira-kira AS$100 bilion (RM389 bilion) aset haram.

“Tiada lagi tahanan di Ritz-Carlton,” kata pegawai berkenaan kepada agensi berita Reuters.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut bilangan suspek yang masih ditahan di lokasi-lokasi lain di Arab Saudi.

Sebahagian mereka dipercayai telah dipindahkan dari Hotel Ritz-Carlton ke penjara selepas enggan mengaku melakukan sebarang kesalahan dan membuat pembayaran kepada pihak berkuasa.

Pada minggu lalu, Peguam Negara Arab Saudi berkata, sebahagian besar tahanan bersetuju membuat pembayaran kepada kerajaan. Seramai 90 tahanan kemudian dibebaskan selepas tuduhan terhadap mereka digugurkan, manakala 95 lagi masih ditahan.

Sesetengah kes tersebut akan dibicarakan di mahkamah.

Antara ahli perniagaan utama yang ditahan termasuk Putera Al-Waleed yang merupakan pemilik firma pelaburan global, Kingdom Holding dan Waleed Al-Ibrahim yang menguasai media berpengaruh, MBC.

MBC berkata, siasatan mendapati Waleed tidak bersalah, manakala Putera Al-Waleed bertegas bahawa beliau tidak melakukan kesalahan.

Namun, beberapa pegawai Arab Saudi memberitahu, mereka bersetuju untuk membuat pembayaran.

Dalam satu wawancara dengan agensi berita Reuters di suite tempat beliau ditahan pada Sabtu lalu Putera Al-Waleed berkata, beliau dilayan dengan baik sepanjang berada dalam tahanan dan menyifatkan kes tersebut hanya salah faham.

Hotel itu mempunyai sebanyak 492 bilik dan suite tetamu berserta taman landskap seluas 21 hektar, demikian menurut laman webnya.

Menurut pihak pengurusan, hotel tersebut akan dibuka semula kepada orang ramai pada pertengahan Februari ini dengan bilik paling murah berharga AS$650 (RM2,533) untuk penginapan satu malam.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :