SELANGOR

Henti tular insiden tikam lidah, pelaku sudah mohon maaf

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 26 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mahu orang ramai supaya tidak memperbesarkan insiden pertikaman lidah membabitkan seorang individu dengan empat anggota penguatkuasa yang kini menjadi tular di media sosial.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata, hal itu kerana individu berkenaan sudah tampil memohon maaf berikutan tindakannya yang meninggikan suara sekali gus mencetuskan situasi tegang.

“Selepas berjumpa dengan pegawai MPK, individu berkenaan faham dan sedar atas kesalahannya,” katanya kepada SelangorKini.

Keempat-empat anggota berkenaan dipanggil bagi membantu siasatan dalaman pihak atasan berhubung kejadian itu.

Norfiza berkata, MPK mempunyai prosedur standard operasi (SOP) dalam menunda mana-mana kereta yang menghalang lalu lintas.

“Kita tidak akan bertindak secara membuta tuli seperti apa yang dihebahkan di media sosial.

“MPK juga tidak teragak-agak mengambil apa-apa tindakan mengikut peraturan ditetapkan kepada mana-mana yang ingkar,” katanya.

Beliau menasihatkan semua penduduk diminta mematuhi peraturan bagi meletak kenderaan serta tidak menghalang lalu lintas.

Rakaman kejadian pada 13 Disember lalu menjadi tular di media sosial, semalam selepas seorang lelaki berusia lingkungan 50 an bertindak mengeluarkan kata-kata kesat kepada sekumpulan anggota penguatkuasa.

Rakaman video berdurasi 2 minit 40 saat itu memaparkan lelaki berkenaan dan isterinya bengang apabila kenderaan mereka disaman salah seorang anggota tersebut.

Salah seorang anggota itu cuba menjelaskan kesalahan lelaki itu yang meletakkan kenderaan di tempat yang salah, namun lelaki itu dilihat memberikan alasan sehingga menimbulkan situasi tegang.


Pengarang :