KENYATAAN MEDIA

Cermin diri dulu sebelum salahkan orang lain

 

OLEH CHANG LIH KANG

Saya ambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 23 Januari lalu yang menyalahkan seorang pemimpin kononnya memperkenalkan kereta nasional sehingga mengakibatkan pengangkutan awam diabaikan.

Saya yakin pemimpin dimaksudkan Najib adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga merupakan seteru politiknya ketika ini kerana kereta kebangsaan Proton merupakan idea pemimpin tersebut.

Namun, alasan diberikan Najib langsung tidak masuk akal dan boleh dianggap sebagai dangkal kerana bagi saya rakyat kurang menggunakan pengangkutan awam bukan kerana adanya kereta nasional sebaliknya Najib perlu melihat sendiri tahap keberkesanan pengangkutan awam di Malaysia ini.

Masih banyak rungutan daripada rakyat berhubung masalah-masalah yang masih berlaku dalam perkhidmatan pengangkutan awam seperti kelewatan dari masa yang ditetapkan, kerosakkan teknikal yang kerap dan banyak lagi.

Saya pasti sekiranya pengangkutan awam di Malaysia di tahap yang memuaskan, sudah pasti rakyat lebih memilih menaiki pengangkutan awam berbanding kereta terutama untuk mengelakkan daripada dikenakan bayaran tol dan kesesakan lalu lintas.

Apa yang boleh dilihat, pemimpin kurang cerdik seperti Najib sanggup membandingkan dan menyalahkan pemimpin terdahulu demi menutup kelemahan kepimpinannya kini.

Walhal pembuatan kereta nasional membuktikan kebolehan anak watan tempatan dalam meneroka industri pembuatan seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara yang baik melalui cukai keuntungan yang diperoleh daripada industri berat tersebut.

Malah projek kereta negara itu juga telah meletakkan nama negara di persada dunia.

Jika ingin dibandingkan dengan zaman pemerintahan Najib, hanya skandal mega negara seperti 1MDB sahaja telah mempopularkan nama Malaysia di mata dunia.

Oleh itu, saya ingin menasihati Najib Razak agar cermin dirinya terlebih dahulu sebelum ingin meletakkan kegagalan diri sendiri di atas bahu orang lain.

Rakyat mempunyai mata untuk melihat dan telinga untuk mendegar segalanya.

* Chang Lih Kang adalah Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN


Pengarang :