SELANGOR

LPHS nafi dakwaan Utusan berkait Rumah Selangorku

 

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 26 JAN: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menyangkal dakwaan kononnya agensi itu gagal menyelesaikan 110 aduan diterima di bawah skim Rumah Selangorku.

LPHS dalam kenyataannya menegaskan, syarikat milik Kerajaan Negeri itu hanya menerima 10 aduan pemohon untuk proses lanjutan penyelesaian dijalankan.

“Pentadbiran ini memohon pihak pengadu mengemukakan 110 dokumen lagi yang dikatakan diterima oleh mereka diserahkan supaya semakan dapat dibuat.

“Pentadbiran ini juga sentiasa memberi kerjasama kepada semua pihak dalam memastikan mereka yang layak memperolehi kediaman Rumah Selangorku mendapat skim berkenaan.

“Justeru, kenyataan ‘berkemungkinan wujudnya amalan salah laku atau tadbir urus dalam pengurusan skim perumahan Selangorku’ adalah disangkal,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Utusan melaporkan kononnya inisiatif LPHS menguruskan pelaksanaan skim berkebajikan Rumah SelangorKu, adalah meragukan.

Memetik individu tertentu, akhbar itu turut melaporkan wujudnya rekod permohonan skim berkenaan yang didakwa hilang dan tidak boleh diproses.

Bagaimanapun, pendedahan media itu tidak disertakan bersama sebarang bukti atau data terkini proses pembelian Rumah Selangorku.

Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif Rumah SelangorKu sebagai komitmen pentadbiran Selangor membuka peluang rakyat di negeri ini memiliki sebuah rumah sendiri bernilai tidak melebihi RM250,000.

Untuk rekod, sebanyak 132,916 unit Rumah Selangorku diluluskan Kerajaan Negeri sejak mula diperkenalkan, pada 2014.


Pengarang :