SELANGOR

MBSA anjur boling, rapat hubungan media

 

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUBANG JAYA, 27 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Pertandingban Boling antara pengurusan MBSA, Ahli Majlis dan Media Massa, di Sunway Pyramid, di sini.

Kejohanan julung kali diadakan itu bertujuan merapatkan hubungan baik antara petugas media dan jabatan perkhidmatan MBSA.

Datuk Bandar MBSA, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, penganjurannya juga dijalankan bagi menghargai sumbangan petugas media selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat menerusi sukan.

“Kita harap penganjuran pertandingan akan lebih mengeratkan lagi kerjasama antara MBSA dan media yang sememangnya menjadi tulang belakang MBSA untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat,” katanya.

Pertandingan ini melibatkan lebih 70 kakitangan MBSA, petugas media dan ahli majlis.

Ia turut dihadiri Orang Besar Daerah Petaling, Dato’ Emran Kadir.

Dalam perkembangan itu, Berita Harian berjaya membawa pulang wang tunai RM1,000 dan trofi selaku juara keseluruhan.

Sementara itu, kedudukan kedua dan ketiga dimenangi kakitangan MBSA dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM500 dan RM300, beserta trofi kemenangan.

 


Pengarang :