BERITA UTAMAPBTSELANGOR

‘Pothole Rangers’ MPK respon baiki jalan tempoh 24 jam

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 30 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan pasukan ‘Zero Pothole’ bagi menyelenggarakan jalan rosak dan berlubang dalam tempoh 24 jam.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata sejumlah RM500,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja pembaikan dalam tempoh tiga bulan bermula Januari hingga April depan.

Katanya, pasukan yang dinamakan ‘Pothole Rangers’ itu akan bergerak sepanjang masa di seluruh kawasan Klang untuk mengesan dan membuat kerja tampalan.

“Pada masa kini, kerja-kerja pembaikan jalan dilaksanakan oleh empat pasukan Jabatan Kejuruteraan sedia ada secara dalaman membabitkan kawasan Klang Utara, Klang Selatan, Pelabuhan Klang dan Klang Timur sepanjang 1,500 kilometer.

“Setiap pasukan ini dilengkapi dengan kenderaan pengangkutan, jentera dan peralatan. Pasukan ini akan menggunakan bahan ‘coldmix’ sama ada melalui aduan atau rondaan,” katanya pada pelancarannya, di sini.

Grafik Oleh: Ezli007

Yasid berkata kerja yang dilaksanakan akan membabitkan pembaikan jalan rosak yang besar dan sesuai dengan menggunakan premix panas sahaja.

“Keadaan ini tidak dapat menampung lain-lain kawasan yang mengalami kerosakan kecil jalan dalam satu masa,” katanya.

Beliau berkata tindakan penampalan lubang akan dilaksanakan secepat mungkin dalam tempoh 24 jam daripada aduan diterima sama ada pada waktu bekerja atau cuti am.

 

 


Pengarang :