SELANGOR

Premis salah guna parkir, MBSA pecah tanjak

SHAH ALAM, 26 JAN: Empat premis di Seksyen 7 di sini, dikenakan tindakan kerana membina tanjakan (ramp) tanpa kebenaran dalam Operasi Bersepadu Memecah Tanjakan (Ramp) oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), semalam.

Ketua Bahagian Korporat da Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, operasi itu bertujuan mengesan dan menangani masalah pemilik premis yang menyalahgunakan parkir untuk tujuan perniagaan tanpa kebenaran MBSA.

“Sebanyak empat premis telah dikenakan tindakan kerana membina tanjakan (ramp) tanpa kebenaran, 5 tanjakan (ramp) telah dipecahkan, dan 8 kompaun telah dikeluarkan semasa operasi tersebut diadakan.

“MBSA menggunakan jentera ‘excavater’ untuk menanggalkan tanjakan tersebut membabitkan 17 kakitangan daripada Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Penguatkuasaan, dan Jabatan Pelesenan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrin berkata, penggunaan parkir tanpa kebenaran untuk tujuan perniagaan merupakan satu kesalahan di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133).

Katanya, pemilik premis yang ingin menggunakan parkir bagi tujuan perniagaan perlu membuat permohonan sewaan petak khas terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

“Tindakan tegas termasuk memecahkan tanjakan dan kompaun akan dikenakan kepada pemilik premis yang ingkar dan membina tanjakan haram dihadapan premis mereka,” katanya.

Sebarang pertanyaan berkenaan sewaan parkir khas, boleh hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55105133 sambungan 1477, 1657 dan 1658.


Pengarang :