SELANGOR

Sambutan baucar ‘Jom Shopping CNY’ meriah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 JAN: Tawaran baucar ‘Jom Shopping CNY’ bersempena sambutan Tahun Baharu Cina 2018 tidak lama lagi, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang mendapat sambutan menggalakkan.

Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei berkata, permohonan baucar membeli-belah berkenaan mendapat sambutan luar jangkaan, namun pihaknya masih perlu membuat tapisan bagi memilih golongan berkelayakan.

“Kami sudah menilai setiap permohonan, namun hanya 500 penerima berkelayakan akan menerima baucar ini.

“Masyarakat di Rawang amat berterima kasih dan gembira dengan pemberian baucar terbabit memandangkan banyak harga barang yang semakin meningkat ketika ini,” katanya kepada SelangorKini.

Pei Nei berkata, penyerahan baucar Tahun Baharu Cina itu akan mula diserahkan kepada penerima bertuah, pada 26 hingga 28 Januari ini, di Pasaraya NSK, Rawang.

Menariknya, baucar berkenaan turut memberi peluang kepada orang ramai untuk membeli-belah apa sahaja tanpa had kategori jenis barangan.

“Baucar berjumlah RM100 membolehkan masyarakat membeli apa sahaja barangan yang mereka mahukan hanya di Pasaraya NSK, Rawang,” katanya.

Antara syarat untuk memohon baucar itu adalah warganegara Malaysia berbangsa Cina dan pendapatan bulanan isi rumah RM1,500 ke bawah.


Pengarang :