BERITA UTAMASELANGOR

Sentimen Selangor pengundi baru mampu tumbangkan BN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 JAN: Kecenderungan golongan pengundi politik baru terhadap sentimen Selangor merupakan antara faktor membolehkan Pakatan mengekalkan penguasaan mereka di Selangor dengan majoriti lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.

Penganalisis bebas, Dato’ Dr Samsul Adabi Mamat, berkata sentimen sama dibawa golongan terbabit dijangka semakin tersebar luas pada PRU14 nanti ekoran prestasi cemerlang di bawah Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Pengundi di Selangor ini lebih terbuka pemikiran mereka di mana kita panggil golongan ini pengundi politik baru. Mereka bermula pada 2008. Mereka memilihan berdasarkan pilihan rasional yang berasaskan isu.

“Mereka tidak terikat dengan pendekatan tradisi Umno-Barisan Nasional (BN) dan mereka mula mengundi pada 2008 di mana sekarang mereka berusia 35 hingga 40 tahun,” kata bekas Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Jelasnya, dianggarkan 60 Peratus di kalangan pengundi yang akan memilih pada PRU14 kali ini mewakili pengundi politik baru.

Katanya, keadaan ini menjadi nilai tambah yang sangat berguna kepada Pakatan Harapan untuk menumbangkan Umno-BN di peringkat nasional pula.

PRU12 pada tahun 2008, Kerajaan Umno-BN Selangor berjaya ditumbangkan buat kali pertama apabila hanya menang di 20 kerusi berbanding pembangkang 36 kerusi.

Pengaruh Umno-BN di Selangor selepas itu semakin merosot apabila pada PRU13 menyaksikan Umno-BN hanya mampu menang di 12 kerusi sahaja berbanding pengaruh Pakatan Harapan yang semakin kukuh selepas menang di 44 kerusi.

=EZY=


Pengarang :