NASIONAL

Wabak jangkitan MERS-CoV tamat

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 23 JAN: Wabak jangkitan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) membabitkan jemaah berusia 55 tahun dari Selangor, yang dilaporkan pada 1 Januari lalu, diisytiharkan tamat oleh Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, ia ekoran tiada kes baharu jangkitan MERS-CoV dikesan dari seluruh negara dan tiada kejadian kluster jangkitan MERS-CoV dilaporkan dalam kalangan kontak rapat jemaah terbabit.

“Pemantauan tempoh jangkitan MERS-CoV yang dijalankan kementerian selama dua tempoh inkubasi penyakit, iaitu 28 hari dari hari pertama kes (24 Disember 2017) menunjukkan gejala dan tempoh pemantauan wabak berakhir, pada 20 Januari lalu.

“Ia membabitkan 75 kontak kes yang berjaya dikesan iaitu ahli keluarga serumah, saudara-mara, sahabat handai dan ahli kumpulan pakej umrah disertai jemaah.

“Pengesanan juga membabitkan petugas kesihatan mengendalikan kes di klinik swasta dan hospital kerajaan termasuk penumpang yang duduk berhampiran jemaah berkenaan bagi perjalanan pulang ke Malaysia, pada 23 Disember 2017,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 59 orang kontak rapat diletakkan di bawah pengawasan di rumah selama 14 hari bermula dari hari terakhir kontak bertemu dengan kes.

“Semua sampel diambil dalam kalangan kontak rapat kes diuji dan dilaporkan negatif jangkitan MERS-CoV, menjadikan hanya satu kes MERS-CoV dilaporkan di negara kita.

“Malaysia masih berisiko mendapat jangkitan penyakit MERS-CoV dan langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi jangkitan penyakit itu perlu dijalankan secara berterusan.

“Selain itu, agensi pelancongan khususnya yang menguruskan jemaah umrah dan haji diminta memaklumkan jangkitan MERS-CoV kepada jemaah mereka secara berterusan, terutama ketika berada di Tanah Suci,” katanya.

Katanya, agensi pelancongan diminta merujuk pekeliling terkini Kementerian Pelancongan membabitkan Pekeliling Pesuruhjaya Pelancongan Bil. 1/2018 – Larangan Menganjurkan Lawatan ke Ladang Ternakan Bagi mencegah Jangkitan Penyakit MERS-CoV dan nasihat kesihatan berkaitan MERS-CoV.

Noor Hisham berkata, belum ada penemuan vaksin khusus untuk memberi perlindungan kepada jangkitan MERS-CoV selain tiada ubat khusus merawat penyakit itu.

“Oleh itu, jemaah amat digalakkan mengambil vaksin influenza bermusim dan pneumococcal bagi membantu merangsang imuniti, khususnya membabitkan sistem pernafasan mereka.

“Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi kejadian penyakit MERS-CoV dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.


Pengarang :