NASIONAL

ABIM kutuk tahanan ke atas Tariq Ramadan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 20 FEB: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengutuk tindakan penahanan dan pendakwaan pihak berkuasa Perancis ke atas Prof Dr Tariq Ramadan.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata berdasarkan fakta yang ada, pendakwaan itu adalah cacat bermotif kebencian dan prasangka politik.

“Penahanan itu tidak sepatutnya kerana Dr Tariq secara sukarela menyerah kepada polis untuk membantu siasatan.

“ABIM terganggu dengan tindakan dan pendakwaan dilakukan Perancis yang mengabaikan keterangan diberikan beliau sebagai alibi kukuh dan meyakinkan untuk membersihkan namanya,” katanya.

Baru-baru ini, Dr Tariq dimasukkan ke hospital selepas ditahan dalam tahanan selama 18 hari yang dituduh melakukan salah laku seksual oleh pihak berkuasa Perancis.

Beliau adalah seorang intelektual terkenal di barisan hadapan untuk mempertahankan prinsip dan nilai Islam dalam menghadapi serangan keji dan kebencian.

Mohamad Raimi berkata, Barat tidak boleh menafikan sumbangan Dr Tariq dalam usaha untuk membendung perpecahan tidak menentu antara masyarakat Barat dan dunia Islam.

“ABIM menggesa rakyat Malaysia bersama-sama dengan komuniti dunia menyokong dan merealisasikan kempen solidariti #FreeTariqRamadan.

“Kempen ini perlu dipopularkan untuk menuntut kebebasan beliau daripada dianiaya dan ditindas lalu memfitnah kredibilitinya,” katanya.


Pengarang :