NASIONALSUKANKINI

FMLLP sedia bantu FAS isu rasuah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 FEB: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) komited menawarkan bantuan kepada Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dalam menangani isu rasuah berkaitan persatuan berkenaan.

Dalam kenyataannya, FMLLP berkata, pihaknya bersedia bagi tujuan itu sekiranya FAS memerlukannya.

“Secara dasarnya, FMLLP bersetuju atas tindakan pantas FAS dalam membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dalam pertemuan antara kedua pihak, FMLLP dan FAS juga bersetuju untuk tidak memberi sebarang komen atau menimbulkan sebarang spekulasi sehingga SPRM menyelesaikan siasatan berhubung isu berkaitan,” katanya.

Satu pertemuan di antara Presiden FAS, Datuk Posa Majais bersama wakil pengurusan pasukan Sarawak bersama Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam serta Penolong Setiausaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Abang Zulkarnain Abang Abdurahman dan Ketua Unit Integriti FAM, Osman Abu Bakar diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan, semalam.

Dalam pertemuan itu, FAS menjelaskan situasi sebenar berhubung isu berbangkit termasuk laporan dibuat kepada SPRM.

Sebelum itu, seorang pemain pertahanan dan tengah pasukan Liga Perdana itu serta seorang bookie ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan kerana mengatur perlawanan.

Mahkamah Majistret Kuching membenarkan permohonan reman dikemukakan SPRM di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Portia Tham Ong Leng terhadap tertuduh iaitu pemain pertahanan, Maswandi Zakaria, 29 dan pemain tengah, Mohd Hafiz Abu Bakar, 28, serta bookie, Mohamad Zaiman Rosli, sehingga 21 Februari ini.

Pada 11 Februari lalu, FAS memulakan siasatan selepas Sarawak tewas kepada Felcra United 2-3 walaupun mendahului lawan 2-0 pada separuh masa pertama dalam perlawanan liga, 10 Februari lalu.


Pengarang :