NASIONAL

JPJ ronda 24 jam 18 Februari ini

SHAH ALAM, 13 FEB: Rondaan pasukan penguat kuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan beroperasi 24 jam, pada 18 Februari ini, bersempena sambutan Tahun Baru Cina.

Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, pasukan penguat kuasaan JPJ melakukan rondaan selama 16 jam, bermula 9 hingga 23 Februari ini dari jam 8 pagi hingga 12 malam, kecuali pada 16 dan 17 Februari.

Katanya, dalam tempoh itu, JPJ akan turut menjalankan pemeriksaan bas secara rawak di hentian rehat dan rawat di lebuh raya.

“Rondaan akan menggunakan kenderaan penguat kuasa berlogo dengan membuka lampu mata arah, berkelajuan tidak melebihi 70 kilometer/jam menggunakan lorong kecemasan atau lorong paling kiri jalan,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Stesen JPJ, di kawasan Rehat dan Rawat Dengkil (arah selatan), di Lebuhraya Utara Selatan, baru-baru ini.

Pada masa sama, Shaharuddin berkata, pegawai JPJ akan turut melakukan penyamaran di dalam bas bagi memantau pemandu yang merokok atau menggunakan telefon bimbit sambil memandu.

Katanya, pegawai terbabit juga akan memeriksa tayar, brek dan lampu bas ekspres sebelum berlepas dari Terminal Bersepadu Selatan.

“Sebanyak 120 pasukan berkenderaan dan 40 unit bermotosikal JPJ akan terbabit dalam operasi penguat kuasaan sepanjang sambutan Tahun Baru Cina kali ini.

“Rondaan dan penguat kuasaan pada sambutan perayaan ini meliputi 240,000 kilometer jalan raya di seluruh negara membabitkan 1,500 hingga 2,000 pegawai dan anggota JPJ,” katanya.

Mengulas berkenaan Stesen JPJ yang dirasmikan baru-baru ini, Shaharuddin berkata, ia adalah stesen zon tengah dengan pihak pengurusan PLUS Malaysia Bhd memberikan ruang eksklusif untuk pegawai penguat kuasa JPJ beroperasi, di kawasan rehat dan rawat berkenaan.

“Sebagai permulaan, Stesen JPJ Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil (arah selatan) akan memberikan fokus kepada operasi penguat kuasaan sempena sambutan Tahun Baru Cina.

“Bagi jangka masa panjang, stesen JPJ ini merancang untuk menyediakan perkhidmatan memeriksa saman, memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu bagi kemudahan pengguna lebuh raya,” katanya.


Pengarang :