SUKANKINI

Penjaga gol Negeri Sembilan digantung dua bulan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 FEB: Penjaga gol bawah 23 (B-23) Kebangsaan dan Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed digantung beraksi dua bulan selepas disahkan positif bahan terlarang, metabolite methandienone menerusi ujian sampel kes doping.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan mengesahkan perkara itu selepas ujian sampel A dilakukan sewaktu Kejuaraan B-23 AFC 2018, di Changshu, China.

Katanya, FAM menerima surat daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang menyatakan Syihan positif metabolite methandienone, sejenis bahan larangan dalam senarai Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), pada 10 Januari lalu.

“Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC memutuskan Syihan bersalah melanggar Artikel 6 Peraturan Anti-Doping AFC dan dikenakan penggantungan sementara 60 hari daripada mengambil bahagian dalam aktiviti bola sepak termasuk perlawanan domestik, persahabatan dan rasmi.

“Berkuatkuasa serta merta, Syihan dilarang beraksi bersama Negeri Sembilan bermula perlawanan kedua Liga Super 2018 bertemu Kuala Lumpur di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 7 Februari lalu walaupun turun beraksi pada perlawanan pertama bertemu PKNP FC, pada 3 Februari lalu,” katanya.

Katanya, AFC akan mengambil tindakan lanjut selepas menerima keputusan rasmi ujian sampel B berkenaan dan buat masa ini, Syihan tidak dibenarkan beraksi bersama Negeri Sembilan sepanjang tempoh penggantungan sementara itu.

Syihan tidak beraksi langsung sepanjang kejohanan kerana ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee menurunkan Ifwat Akmal Chek Kassim, pada perlawanan bertemu Iraq dan seorang lagi penjaga gol, Haziq Nadzli, pada tiga perlawanan berikutnya sehingga Malaysia tewas 2-1 kepada Korea Selatan, pada suku akhir.

Penjaga gol Negeri Sembilan itu kini hanya menunggu keputusan sama ada kekal positif atau negatif selepas memohon supaya sampel B diuji dan ia dibuat semalam.


Pengarang :