SELANGOR

Kuala Selangor bakal jadi zon perniagaan dan perindustrian berteknologi tinggi

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 11 FEB: Pembangunan di Kuala Selangor dijangka semakin pesat dalam tempoh beberapa tahun lagi dengan taman-taman perumahan, zon perniagaan dan zon perindustrian.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata pada masa ini Kerajaan Negeri menerima banyak permohonan syarikat swasta untuk membangunkan perindustrian berteknologi tinggi, zon perniagaan dan taman perumahan di daerah terbabit.

“Kerajaan Negeri menerima banyak permohonan bukan sahaja pemaju untuk membangunkan kawasan sekitar tetapi juga menerima permohonan pihak swasta untuk membangunkan industri di kawasan ini.

“Ia di mana kita akan menempatkan zon-zon perniagaan dan industri termasuk industri berteknologi tinggi di kawasan ini untuk anak-anak kita yang tinggal di kawasan ini mendapat peluang pekerjaan bergaji yang lebih lumayan kerana ianya bersifat teknologi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pemilikan Rumah Antara Peserta Dengan Pemaju Paragon Pinnacle Sdn Bhd di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini, hari ini.

Jelasnya, dengan wujudnya taman-taman perumahan baru, zon perniagaan dan perindustrian akan menjadikan harga hartanah di Kuala Selangor meningkat pada masa akan datang.

Katanya, pemilik rumah yang diberi pemaju Paragon Pinnacle Sdn Bhd kepada 980 keluarga dinasihatkan supaya tidak menjual hartanah terbabit.

“Harga hartanah semasa semakin tinggi, maka itu simpanlah rumah yang ada ini untuk generasi kita akan datang,” katanya.

=EZY=


Pengarang :