Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Pemimpin UMNO harus terima hakikat tak berjaya selesai isu tanah di Ijok

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA SELANGOR, 22 FEB: Pemimpin UMNO seharusnya memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Negeri selepas hampir 20 tahun isu rumah terbengkalai Alam Mutiara dan Alam Utama Bukit Cerakah dapat diselesaikan pimpinan kini.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak Rumah Terbengkalai Alam Mutiara daan Alam Utama Bukit Cerakah, Umar Ali Bashah berkata, segelintir pemimpin UMNO harus terima hakikat bahawa mereka tidak berjaya menyelesaikan masalah itu sejak 20 tahun lalu kerana terlalu mementingkan diri.

“Selepas penantian selama 20 tahun selesai, mengapa masih ada pemimpin UMNO yang pertikai sedangkan masalah ini berlaku ketika zaman mereka dan pemimpin ketika itu tidak dapat selesaikannya.

“Jika Selangor masih di bawah pemerintahan UMNO-Barisan Nasional, pasti tanah ini dilelong bank dan institusi pemberi pinjaman,” katanya ketika sidang media di Bukit Kuching Tengah, Jeram, di sini, pada 20 Februari lalu.

Umar berkata, hanya 987 peneroka daripada 1063 sahaja yang berhak mendapat rumah dan 76 peneroka selebihnya menjual lot rumah kepada pemaju lama.

Katanya 358 daripada 987 peneroka itu tidak sempat melihat rumah terbabit siap dibina kerana sudah meninggal dunia.

“Kami bersyukur kerana akhirnya projek terbengkalai ini dapat diselesaikan dan menerima RM180,000 wang pampasan serta sebuah rumah dengan harga RM250,000.

“Selepas siapnya rumah itu, ia akan bernilai tidak kurang dari RM450,000. Ini bermakna kita mendapat wang pampasan dan aset keseluruhan berjumlah RM630,000,” katanya,

Beliau turut melahirkan rasa syukur kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kerana berjaya menyelesaikan masalah itu hingga berjaya.


Pengarang :