SELANGOR

Pertimbang laksanakan sistem kerja anjal Wanita Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 FEB: Kerajaan Negeri mempertimbang pelaksanaan dasar sistem kerja anjal kepada penjawat awam wanita di Selangor.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, berkata, pelaksanaannya akan ditentukan berdasarkan kajian dan proses kesesuaian gerak kerja.

“Jadi kita akan mengkaji bagaimana pelaksanaan sistem kerja anjal ini.

“Sekiranya diberikan peluang (pelaksanaannya diteruskan), mengikut kesesuaian waktu kerja mereka, golongan ini akan lebih komited memberikan hasil terbaik dalam kualiti kerja mereka.

“Sekiranya ia boleh dilaksanakan secara anjal, tidak kiralah sama ada ibu atau kakitangan (awam) akan terus menyumbang komitmen kepada kerja dan keluarga,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media, Seminar Keseimbangan Hidup Bekerjaya (Work Life Balance) anjuran Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor di Dewan Auditorium Tingkat 2, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Raja Tun Uda, pagi ini.

Untuk rekod, waktu bekerja berperingkat yang juga dikenali sebagai waktu kerja anjal mula dilaksanakan di Tokyo, Jepun dengan menetapkan jadual waktu kerja anjal seperti jadual 8 pagi-4 petang, 12 tengah hari-8 malam dan 4 petang-12 tengah malam.

Terdahulu, kajian majalah Forbes mendedahkan, hasil dapatan majikan yang menjalankan kerja waktu anjal menunjukkan amalan kakitangan mereka lebih berdaya tinggi dan kurang mengambil cuti sakit.


Pengarang :