GLOBALSAINS & INOVASI

Polis bercermin mata hitam mampu kesan penjenayah sekelip mata

DIOLAH OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 11 FEB: Cermin mata hitam dilengkapi teknologi pengecaman wajah mula digunakan Polis China untuk mengenal pasti suspek penjenayah sebagai ‘senjata’ terbaharu kerajaan negara itu dalam membendung aktiviti jenayah.

Cermin mata hitam disambungkan ke peranti pegang tangan menggunakan perisian pengenalan muka untuk membandingkan wajah dikenalpasti dari pangkalan data yang dimuatkan dengan foto 10,000 suspek. Dan ia berbuat demikian hanya dalam sepersepuluh detik.

Ketika ini, China memiliki kira-kira 170 juta kamera litar tertutup yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan, berkebolehan mengecam wajah individu dengan 400 juta kamera baharu bakal dipasang dalam tempoh tiga tahun lagi.

Agensi Berita Antarabangsa BBC NEWS melaporkan, cermin mata pintar itu dihubungkan dengan pangkalan data dalaman polis mengenai suspek bermakna anggota polis dengan pantas boleh mengimbas pergerakan orang ramai sementara mengesan suspek.

Bagaimanapun para pengkritik bimbang penggunaan teknologi terbaharu itu akan memberikan lebih kuasa kepada kerajaan.

Menurut akhbar China, setakat ini cermin mata berkenaan sudah membantu polis menangkap tujuh orang suspek penjenayah.

Polis China ketika ini menggunakan alat baharu itu di stesen kereta api di bandar Zhengzhou, dengan tujuh suspek yang ditahan terbabit dengan jenayah langgar lari dan pemerdagangan manusia.

Menerusi teknologi tersebut, pihak berkuasa turut mengenal pasti 26 individu yang menggunakan kad pengenalan palsu.

Malah, teknologi itu membolehkan pegawai polis merakam gambar individu mencurigakan sebelum membandingkannya dengan gambar disimpan dalam pangkalan data dalaman polis.

Jika ciri suspek sepadan dalam pangkalan data polis, maklumat tentang nama dan alamat individu itu akan diserahkan kepada petugas berhampiran.

Namun wujud kebimbangan bahawa kerajaan akan menggunakan teknologi itu bagi mengesan pesalah politik atau etnik minoriti tertentu.


Pengarang :