NASIONALPENDIDIKAN

Sikap memilih menteri punca ramai graduan menganggur

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 FEB: Sikap menteri yang memilih dalam mendedahkan statistik kebolehpasaran graduan menjadi punca peningkatan tahap pengangguran, di negara ini.

Berhubung kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, pada sidang media selepas majlis pelancaran TRC Edu Centre di Politeknik Ungku Omar, pada 20 Februari lalu.

Beliau berkata, kadar purata kebolehpasaran graduan di institusi pengajian tinggi negara ini meningkat sebanyak empat peratus bagi tempoh empat tahun, mulai 2014 hingga 2017.

Mahasiswa Pakatan Harapan yang terdiri daripada Na’im Brundage (Mahasiswa Keadilan Malaysia), Khuzairi Mazlan (Mahasiswa Amanah Nasional) dan Leong Yu Sheng (DAPSY Biro Hal Ehwal Varsiti) membidas kenyataan itu.

“Apabila kajian itu diteliti, peratusan peningkatan kebolehpasaran graduan meningkat dengan kadar lebih rendah jika tempoh masa lebih panjang digunakan.

“Contohnya, jika kiraan dibuat berdasarkan tempoh masa sembilan tahun, maka kadar kebolehpasaran graduan meningkat 3.2 peratus, dari tahun 2008 hingga 2017. Oleh itu, kadar peningkatan boleh dikatakan meningkat jauh lebih rendah jika diambil tempoh masa sembilan tahun dari empat tahun seperti dinyatakan,” kata mereka dalam kenyataan.

Berdasarkan kajian sama, walaupun kadar peratusan kebolehpasaran mungkin meningkat 1.4 peratus dalam tempoh lapan tahun, namun daripada segi jumlah pengangguran dalam kalangan graduan selepas enam bulan tamat pengajian sudah meningkat seramai 20,574, pada tahun 2016.

“Ia jelas menunjukkan walaupun peratusan kebolehpasaran graduan meningkat, namun daripada segi jumlahnya lebih ramai graduan menganggur selepas enam bulan tamat pengajian, dari tahun ke tahun,” katanya.

Sementara itu, Mahasiswa Pakatan Harapan turut membidas kenyataan Idris berkenaan fungsi Taman Ilmu, baru-baru ini.

“Walaupun projek Taman Ilmu sudah lama terbengkalai dan diberikan nafas baru oleh pelbagai pihak, namun persoalan utama adalah ke mana perginya peruntukan RM300 juta.

“Kami mendesak supaya satu siasatan dijalankan bagi mendapat pengesahan jika terdapat unsur pecah amanah dalam urusan pemberian tender pembinaan Taman Ilmu itu,” kata mereka.

Mahasiswa Pakatan Harapan juga tidak bersetuju dengan sikap lepas tangan Idris berkenaan isu Taman Ilmu itu apabila beliau membuat kenyataan bahawa ia sebuah projek Kerajaan Negeri bukan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Dato’ Seri Idris Jusoh perlu tahu bahawa rakyat Terengganu tidak akan lupa fakta utama berkenaan projek itu yang diilhamkan beliau sendiri ketika mentadbir negeri terbabit sebagai Menteri Besar.

“Kami menggesa setiap graduan tempatan yang menganggur untuk menghukum kerajaan Barisan Nasional yang sudah gagal dalam tanggungjawab mereka untuk menyediakan peluang pekerjaan mencukupi,” kata kenyataan itu.


Pengarang :