BERITA UTAMASELANGOR

Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor beri rakyat rawatan terbaik

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Selangor terus proaktif dalam memberikan kesihatan bersepadu kepada rakyatnya menerusi skim terbaru, Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu bagi membantu pesakit jantung menerima rawatan terbaik memandangkan kos rawatan semakin meningkat ketika ini.

“Dalam tempoh 25 tahun, IJN berjaya membuktikan keupayaan dan kemampuan untuk menyediakan perkhidmatan juga rawatan jantung yang berkualiti serta affordable kepada semua rakyat Malaysia.

“Atas kejayaan ini, IJN kini berdepan permintaan yang tinggi daripada pesakit jantung, dari dalam dan luar negara.

“Manakala, pesakit yang berpendapatan rendah dan sederhana menghadapi masalah accessibility memandangkan kos rawatan kesihatan semakin meningkat,” katanya di Majlis Pelancaran Skim Jantung Negeri Selangor, di IJN, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Mohamed Azmin berkata, sebagai sebuah kerajaan yang peduli rakya, maka pihaknya mengambil inisiatif untuk membantu pesakit Selangor khususnya dalam kalangan B40 dan M40 untuk mendapatkan perkhidmatan serta rawatan jantung berkualiti yang dibiayai Kerajaan Negeri.

“Saya difahamkan, pada masa ini terdapat hampir 20,000 pesakit jantung dari Selangor yang sedang menunggu giliran untuk mendapat rawatan.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meluluskan sejumlah RM10 juta bagi tahun 2018 untuk membiayai skim ini dengan menjalin kerjasama dengan IJN sebagai rakan strategik,” katanya.

Beliau berkata, skim itu adalah sebahagian daripada langkah proaktif Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Penjagaan Kesihatan Bersepadu (integrated healthcare scheme) bagi memperluaskan skop perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk rakyat Selangor.

Menerusi Belanjawan Selangor 2018, Mohamed Azmin mengumumkan peruntukan RM10 juta untuk membantu 500 pesakit jantung, di Selangor.

 


Pengarang :