SELANGOR

Tingkat penguat kuasaan pastikan kadar kemalangan turun

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 19 FEB: Selangor mencatatkan penurunan 332 kes kadar kemalangan dalam Op Selamat 12 yang dilaksanakan sempena Tahun Baru Cina, bermula 9 hingga 12 Februari lalu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, pihaknya akan terus melaksanakan penguat kuasaan menyeluruh secara agresif sebagai usaha memastikan kadar kemalangan jalan raya dan kemalagan maut terus dikurangkan.

“Berdasarkan statistik, kes kemalangan mencapatkan penurunan 332 kes, berbanding Op Selamat 10 tahun lalu.

“Namun, jumlah saman yang dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan pula meningkat sebanyak 5,003 saman,” katanya dipetik Sinar Harian.

Sahimi berkata, statistik semasa bagi jumlah kemalangan maut juga meningkat satu kes tahun ini menjadikan jumlah maut seramai 23 mangsa.

“Penunggang motosikal masih kekal menjadi penyumbang terbesar jumlah kemalangan maut membabitkan 18 orang, manakala selebihnya dalam kalangan pemandu motokar dan pejalan kaki.

“Bagaimanapun, kita akan teruskan usaha menurunkan lagi kadar kemalangan dan kemalangan maut menerusi penguat kuasaan terhadap pengguna jalan raya, termasuk yang tidak mematuhi lampu isyarat menerusi Operasi Lampu Merah,” katanya.


Pengarang :