NASIONAL

Trafik sesak susulan kemalangan dalam Terowong Menora

OLEH SABIRAH AZIZ

IPOH, 19 FEB: Kemalangan membabitkan dua kereta di dalam Terowong Menora pagi tadi menyebabkan kedua lorong menuju ke utara terhalang hampir sejam dan kesesakan lalu lintas kira-kira lima kilometer.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Mohd Zaid Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 11.31 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Tiba di lokasi kejadian, anggota mendapati kemalangan membabitkan dua kereta, iaitu Proton Saga dan Proton Saga Aeroback yang menyebabkan kedua kenderaan itu terbalik dengan keempat tayar berada di atas selepas pelanggaran.

“Pemeriksaan mendapati mangsa tiada di lokasi kejadian dipercayai dibawa ke hospital berhampiran oleh orang awam,” katanya lapor Kosmo Online.

Mohd Zaid berkata, anggota seterusnya melakukan pemantauan di lokasi bagi memastikan tiada mangsa dan kenderaan lain terbabit.

Sementara itu, jurucakap Lebuh Raya Utara Selatan berkata, laluan trafik ke utara melalui terowong berkenaan kembali dibuka kepada pengguna, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Sumber gambar: Kosmo Online


Pengarang :