GLOBAL

Angka korban serangan di Ghouta Timur meningkat lebih 800 mangsa

GLOBAL 8 MAC: Serangan udara berat dan pertempuran menggegarkan kubu kumpulan penentang Syria di Ghouta Timur semalam menjelang sidang tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membincangkan peningkatan keganasan tersebut.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, seramai 805 orang termasuk sekurang-kurangnya 178 kanak-kanak maut sejak rejim Presiden Bashar Al-Assad yang disokong Rusia melancarkan serangan ke atas kubu kumpulan-kumpulan penentang di Ghouta Timur, pinggir Damsyik pada 18 Februari lalu.

Rusia turut berdepan kematian besar kelmarin selepas sebuah pesawat pengangkutnya terhempas semasa mendarat di sebuah pangkalan udara di barat Syria, mengorbankan semua 39 penumpang dan kru, lapor AFP.

Pengeboman dan pertempuran di Ghouta Timur yang merupakan kubu kuat terakhir kumpulan penentang dekat Damsyik, berterusan di sebalik tuntutan gencatan senjata selama sebulan oleh Majlis Keselamatan lebih seminggu lalu.

Sekurang-kurangnya 24 orang awam maut kelmarin, kata SOHR yang berpangkalan di Britain.

Serangan itu mendorong Britain dan Perancis meminta Majlis Keselamatan mengadakan sidang tergempar tertutup semalam bagi membincangkan punca kegagalan gencatan senjata PBB.

Sementara itu, tentera Syria mara dengan cepat di tanah pertanian di Ghouta Timur sejak seminggu lalu dan menawan 40 peratus kawasan itu setakat kelmarin.

SUMBER: AFP


Pengarang :