GLOBAL

Australia dipelawa sertai ASEAN

GLOBAL 17 MAC: Presiden Indonesia, Joko Widodo mahu Australia menjadi anggota penuh Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), isyarat bahawa beliau mahu Canberra memainkan peranan serantau lebih besar dalam bidang pertahanan, perdagangan dan hal-ehwal keselamatan.

Beliau yang mesra dengan panggilan Jokowi, membuat pelawaan itu sempena penganjuran sidang kemuncak khas ASEAN oleh Australia di Sydney hari ini.

Jokowi berkata demikian ketika China mempamerkan kekuatannya, manakala ancaman keganasan turut meningkat di Asia Tenggara.

“Saya berpendapat ini idea yang baik kerana rantau kita akan menjadi lebih baik untuk kestabilan seperti kestabilan ekonomi dan juga politik. Pasti, ia akan menjadi lebih baik,” kata Jokowi kepada akhbar Sydney Morning Herald, merujuk kepada penyertaan Australia dalam ASEAN.

Ini adalah kali pertama seorang Presiden Indonesia menyokong Australia untuk menyertai ASEAN.

Australia sejak sekian lama merupakan rakan dialog ASEAN merangkumi Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam sejak tahun 1974.

Dalam satu laporan bulan lalu, Institut Dasar Strategik Australia mengusulkan supaya Canberra menganggotai ASEAN menjelang tahun 2024, sempena ulang tahun ke-50 Australia sebagai rakan kongsi serantau.

Selain itu, ia turut menggesa Australia menggunakan sidang ASEAN di Sydney sebagai platform untuk melancarkan inisiatif itu.

“Memandangkan tekanan geostrategik dan geoekonomi meningkat di Asia, maka, ASEAN selaku kumpulan kuasa pertengahan memerlukan kuasa tambahan yang ditawarkan oleh Australia dan New Zealand,” kata Jokowi.

Tambahnya, sidang kemuncak di Sydney merupakan detik untuk memulakan perbincangan panjang mengenai penyertaan Australia dalam ASEAN.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull berkata, beliau berbesar hati dengan kenyataan Jokowi, namun menekankan bahawa ‘masalah ASEAN adalah masalah untuk ASEAN’.

“Kami sangat menghormati ASEAN, cara mereka mencapai keputusan mereka,” katanya selepas mesyuarat dua hala dengan pemimpin Kemboja, Hun Sen.

“Kami merupakan rakan dialog ASEAN dan kami menghormati keutuhan ASEAN dan signifikannya serta kepentingannya di rantau kita,” ujarnya.

SUMBER: AFP


Pengarang :