SELANGOR

DEMC kini dikenali Hospital Pakar Avisena

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) yang kini dikenali sebagai Hospital Pakar Avisena bakal membuka sebuah Hospital Pakar Wanita dan Kanak-Kanak, di sini pada hujung tahun ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Omar Abd Hamid berkata, hospital 19 tingkat itu akan dilengkapi dengan kemudahan 132 katil, 35 klinik pakar, empat bilik pembedahan serta pusat perkembangan kanak-kanak.

“Walaupun dilengkapi dengan tenaga pakar dan pelbagai kelengkapan perubatan yang canggih, hospital ini nanti masih menawarkan rawatan pada harga berpatutan,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata demikian pada majlis penjenamaan semula hospital berkenaan yang disempurnakan oleh Dato’ Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Dr Omar berkata Hospital Pakar Avisena diambil bersempena nama Ibnu Sina, atau nama sebenarnya Abu Ali Al-Hussian Ibnu Abdullah, seorang tokoh besar dalam bidang perubatan moden yang dilahirkan pada tahun 980.

“Tujuan pemilihan nama ini adalah sebagai antara langkah awal kami untuk berkembang ke seluruh negara, kami yakin dengan memiliki nama yang lebih umum, hospital ini nanti akan dapat diterima orang ramai.

“Kini kami masih dalam peringkat kajian pasaran untuk melihat ‘purchasing power’ penduduk di bandar besar lain seperti Kuantan, Ipoh dan Alor Star sebelum membuka satu cawangan di sana,” katanya.

=EZY=


Pengarang :