SELANGOR

Jalan sambungan Kota Warisan (B20) bakal kurangkan tahap kesesakan kritikal

OLEH SABIRAH AZIZ

SEPANG, 12 MAC: Pembinaan jalan sambungan B20 (missing link) yang siap pada 2020 dijangka dapat mengurangkan tahap kesesakan kritikal di sekitar kawasan Kota Warisan yang kini pesat membangun.

Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir Rozita Mat Senapi berkata, kawasan itu kini rancak dengan pertumbuhan sektor industri, komersial dan penambahan penduduk, sejak 2010.

“Berdasarkan hasil kajian trafik (traffic impact assesment) yang dijalankan, kita menjangkakan pengguna akan mengalami peningkatan jumlah trafik di kawasan ini disebabkan pembangunan pesat kediaman, komersial dan industri.

“Jika semua pembangunan ini siap kelak, jumlah trafik juga dijangka meningkat sebanyak 43 peratus daripada jumlah sedia ada.

“Oleh itu, projek sambungan jalan ini dapat menyelesaikan masalah terbabit serta sebagai signifikan supaya aliran trafik dikurangkan tanpa perlu bergantung kepada satu laluan sahaja ekoran pengguna FT 29 mempunyai pilihan lain,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek membina jalan sambungan berkenaan, di sini, hari ini.

Rozita berkata, dijangkakan jalan FT 29 akan menjadi kritikal sebanyak 89 peratus mengikut kapasiti jalan terutama di simpang tiga yang menghubungkan jalan FT 29 dan FT 32 jika jalan sambungan B20 tiada, pada 2039 iaitu 20 tahun akan datang.

“Kontraktor Norwest Holding Sdn Bhd sudha memulakan kerja pembinaan pada November 2017 dan dijangka siap sepenuhnya pada November 2020 dengan tempoh pembinaan, selama 36 bulan.

“Skop kerja pembinaan juga adalah kompleks kerana merangkumi kerja pembinaan struktur jambatan merentasi Express Rail Link (ERL).

“Saya berharap apabila jalan ini siap, ia akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar kerana mempunyai jaringan perhubungan jalan lebih mudah dan menjimatkan masa,” katanya.


Pengarang :