EKONOMIWANITA & KEBAJIKAN

D’Tahta laksana majlis amal rai pasangan lama

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 MAC : D’Tahta Wedding & Events meraikan cinta pasangan lama yang sudah mendirikan rumah tangga untuk bersanding sekali lagi pada majlis gilang gemilang bertempat, di Dewan D’Tahta @iCity, di sini, pada 23 Februari lalu.

Pengarah Urusannya, Mona Din berkata, objektif pelaksanaan majlis berkenaan adalah untuk menjalankan program amal tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Seramai lapan pasangan berusia 40 tahun ke atas diraikan untuk memberi peluang kepada mereka merasai kembali keindahan naik pelamin dalam sebuah majlis gilang gemilang, bertempat di D’Tahta.

“Mungkin ada antara mereka yang tidak dapat merasai pengalaman naik pelamin sewaktu awal perkahwinan dahulu, maka kami di D’Tahta cuba sedaya upaya merealisasikan impian pasangan ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mona berkata, pada majlis berkenaan, pihaknya sudah menyediakan dewan dengan perhiasan pelamin, meja makan dan suasana indah untuk semua pasangan mempelai.

“Semuanya sudah disediakan oleh D’Tahta, pasangan pengantin hanya perlu mencari baju dan solekan sendiri serta bayaran makan malam sejumlah RM30.

“Selain itu, setiap pasangan disyaratkan hanya boleh membawa keluarga juga rakan taulan seramai 10 hingga 20 orang dan turut dikenakan RM30 sekepala untuk menikmati makanan enak disediakan oleh D’Tahta.

“Kami buka penyertaan ini kepada umum yang tarikh ulang tahun perkahwinannya jatuh pada bulan Februari dan terhad untuk 10 pasangan, namun dua pasangan terpaksa menarik diri atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Pada masa sama, ia juga bagi mempromosi Dewan D’Tahta @iCity supaya dapat dikenali umum terutama mereka yang tinggal di Shah Alam, namun masih buntu untuk mencari lokasi majlis keraian.

“Malah, pada malam itu sahaja kami menerima lebih 200 tetamu yuntuk memeriahkan suasana dan meraikan ibu bapa serta datuk nenek mereka bersanding sekali lagi,” katanya.

Menariknya, Mona berkata, selepas selesai sahaja majlis persandingan beramai-ramai itu, beliau tidak berhenti menerima panggilan daripada orang awam untuk menempah pakej pekahwinan, di D’Tahta.

Beliau berkata, majlis amal sebegini mungkin akan diadakan lagi pada tahun hadapan dengan penyertaan lebih ramai pasangan sempena sambutan ulangtahun D’Tahta yang pertama.

Terdahulu, Dewan D’Tahta Wedding & Events itu adalah cetusan idea Mona dan rakan baiknya apabila beliau buntu memikirkan lokasi sesuai untuk meraikan perkahwinan anak sulungnya.

Mona berkata, beliau yang sebenarnya sudah mahu bersara daripada dunia perniagaan mula mengorak langkah membuka Dewan D’Tahta Wedding & Events selepas menghentikan perniagaan jenama pakaian muslimah terkemukanya, Hajaba.

Dewan D’Tahta Wedding & Events yang menelan belanja lebih RM700,000 itu mempunyai dua pilihan dewan eksklusif iaitu White Hall dan Garden Hall.

Dengan pakej majlis serendah RM10,000 sahaja, maka pasangan mempelai sudah boleh berkahwin seumpama berada, di kayangan.

Justeru, ia tidak hanya sesuai untuk majlis perkahwinan, namun turut boleh diadakan acara keraian antaranya seperti aqiqah, rumah terbuka, hari keluarga dan ulang tahun kelahiran.

Kepada mereka yang berminat, boleh menempah dengan menghubungi Mona sendiri, di talian 019-2116606.


Pengarang :