BERITA UTAMASELANGOR

Kenapa Umno edar buku politik di sekolah Selangor?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 MAC : Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad mempersoal tindakan Ketua Penerangan Umno Selangor, Zein Isma Ismail yang mengedarkan buku politik di beberapa buku sekolah di negeri itu.

Beliau berkata, tindakan itu adalah dangkal, ketika pentadbiran pimpinan Pakatan terus dihalang memasuki sekolah walaupun bukan untuk tujuan kepartian atau politik.

“Zein Isma mengaku buku politik kepartian beliau diedarkan di sekolah. Saya tak ada masalah beliau menulis atau edar buku politik.

“Tetapi, adakah sesuai diedarkan di sekolah? Jika sesuai buku politik parti kepartian diedarkan di sekolah, mengapa Kerajaan Pulau Pinang dan Selangor dilarang masuk ke sekolah?

“Walaupun bukan untuk program politik, tetapi untuk menyampaikan bantuan Kerajaan Negeri atau menerangkan dasar pendidikan Kerajaan Negeri?” tulisnya di Facebook.

Semalam, The Malaysian Insight melaporkan, buku bertajuk Viral 3.0 @ Zeinisma, Transformasi Selangor Maju Bersama BN” diedarkan di beberapa program rasmi sekolah di negeri itu.

Beliau dilapor berkata, edaran dibuat bukan melalui saluran rasmi parti ketuanan Melayu itu.

“Saya keluarkan buku ini. Ia hasil usaha saya sendiri, saya jadikan ia sebagai buku,” katanya.

Bagaimanapun, Nik Nazmi dalam satu kenyataan di Twitternya memaklumkan, wujudnya amalan ‘double standard’ di sekolah membabitkan pimpinan pembangkang dan Kerajaan Persekutuan.

“Dato’ Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang tidak dibenarkan masuk ke sekolah walaupun untuk program kerajaan. Malah saya sebagai exco pendidikan pun tidak dibenarkan.

“Tetapi Umno bebas untuk mengedarkan bahan politik di sekolah,” katanya.

Dilaporkan, buku itu mengandungi beberapa bahagian yang mensasarkan untuk merosakkan reputasi parti Pakatan Harapan, seperti “DAP kekal taiko Pakatan”, “Kerajaan Selangor terlalu angkuh” dan “Penyakit Pembangkang Menjelang PRU14”.

=EZY=


Pengarang :