BERITA UTAMASELANGOR

MB puji inisiatif MBPJ ke arah Smart City

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 31 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memuji inisiatif dilaksanakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam melancarkan aplikasi Dashhboard PKKPJ – PJ Smart City.

Mohamed Azmin turut memuji MBPJ antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terunggul, utama dan pertama menyambut dasar Kerajaan Negeri ke arah ‘Smart State’.

“Saya melihat aplikasi Dashboard PKKPJ – PJ Smart City ini cukup canggih dan pendekatan ini harus digunakan dalam meningkatkan fungsi kecekapan produktiviti pengurusan dalam sesebuah bandar raya.

“Kita seharusnya ingat kayu pengukur kemajuan dan pembangunan yang diterima pakai masyarakat antarabangsa hari ini bukan sekadar ‘economic indicatus’ namun keupayaan sesebuah negara atau negeri menggunakan aplikasi bersifatkan Internet Of Things (IOT),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 dan Meraikan Pesara 2018 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bertempat di Dewan Banquet MBPJ, di sini, semalam.

Terdahulu, MBPJ melancarkan aplikasi Dashhboard PKKPJ – PJ Smart City sebagai platform dua hala memantau tahap keberkesanan pelaksanaan Pasukan Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya (PKKPJ) bagi menangani kes jenayah.

Sementara itu, Datuk Bandar MBPJ, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, dashboard berkenaan menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS) mengandungi maklumat setiap lokasi taburan program PKKPJ, ‘heat map’ taburan lokasi dan taburan aktif program mengikut kawasan seksyen dan zon ahli majlis.

“Statistik yang diperoleh melalui Sistem Pemantauan Bandar Selamat (SPBS) di Petaling Jaya menunjukkan penurunan kes jenayah dengan kadar peratusan sebanyak 85.71 peratus.

“Ini membuktikan bahawa program PKKPJ memberi impak yang positif terhadap keberkesanan program dan keselamatan kejiranan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :