SELANGOR

Mohd Izzat juara Lelaki Terbuka Kriterium Shah Alam

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 MAC: Pelumba Sapura, Mohd Izzat Abdul Halil mengatasi cabaran Che Ku Mohammad Nazmie Che Ku Romli (TSG Terengganu) untuk menjuarai Kategori Basikal Lumba Lelaki Terbuka di Kejohanan Kriterium Shah Alam 2018, Sabtu lalu.

Akmal Hakim (Sapura) terpaksa berpuas hati di tempat ketiga selepas ketinggalan kepada kedua pelumba itu dalam perlumbaan sejauh 26.4 kilometer disertai 82 peserta.

Kejohanan Kriterium Shah Alam 2018 menawarkan hadiah keseluruhan RM11,950 diadakan di Persiaran Tasik, di sini, membabitkan kira-kira 400 peserta.

Kejohanan turut mempertandingkan kategori Lelaki bawah 15 tahun, Lelaki bawah 18 tahun, Lelaki Junior Veteran (36 hingga 45 tahun), ‘Push Bikie’ Kanak-kanak Lelaki dan Perempuan (empat hingga lima tahun) dan Wanita Terbuka (lapan tahun ke atas).

“Pertandingan ini antara usaha berterusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuka peluang kepada semua golongan di Shah Alam untuk bergiat aktif dalam aktiviti sukan berbasikal seterusnya menggalakkan masyarakat mengamalkan kehidupan sihat dan cergas.

“Pada masa sama, ia membantu dalam menilai tahap prestasi pelumba serta meningkatkan daya saing dan semangat kesukanan dalam kalangan peserta,” kata Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Datuk Bandar, Shukri Mohamad Hamin; Ahli Majlis MBSA, Tan Ah Kow dan Timbalan Setiausaha MBSA, Rosli Bakar.

Turut hadir, Ahli Majlis dan Pengarah Jabatan MBSA.


Pengarang :