NASIONAL

Najib-Shafee membisu, soalan di Parlimen turut dibisukan?

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Penolakan soalan jawab lisan oleh Dewan Rakyat mengenai perkembangan siasatan berhubung pembayaran terus RM9.5 juta kepada Tan Sri Dr Shafee Abdullah daripada akaun dipercayai milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat dikesali.

Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan berkata, penolakan dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 23(1)(C), iaitu sesuatu pertanyaan itu tidak boleh mengandungi apa-apa ‘sangkaan’.

“Amat memilukan apabila mendapati isu yang serius seperti ini wajib dijawab dan diperjelaskan kerana berkaitan isu kebebasan dan hukuman penjara seorang individu.

“Parlimen Malaysia pula menganggap isu ini sebagai sangkaan,” katanya dalam satu sidang media di Lobi Pusat Media Dewan Rakyat, hari ini.

Manivanan berkata, soalan yang dikemukakan adalah ‘Sama ada pihak PDRM telah mula menyiasat laporan polis mengenai dana RM9.5 juta daripada Perdana Menteri (YAB Pekan) kepada Tan Sri Dr Shafee Abdullah, serta perkembangan terkini dan tindakannya’.

Beliau berkata, sehingga kini, Najib dan Shafee membisu tanpa mengaku atau menolak dakwaan tersebut selain laporan polis dilakukan untuk siasatan.

Shafee didakwa menerima bayaran yang dikaitkan dengan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak RM4.3 juta pada 11 September 2013 dan RM5.1 juta pada 17 Februari 2014.

Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Sri Nancy Shukry memaklumkan dalam Parlimen Shafee dibayar gaji RM1,000 untuk tugasnya sebagai Ketua Pendakwaraya dalam kes perbicaraan Anwar.

Dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, sepatutnya JPM mengemukakan jawapan sama ada isu itu sudah atau belum disiasat.


Pengarang :