SELANGOR

Pasang PRV pada jajaran paip elak paip pecah

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 28 MAC: Perkakasan mengurus atau mengawal tekanan (pressure reducing valve – PRV) dipasang bagi mengelak kejadian paip pecah yang sering berlaku di jajaran paip utama menyalurkan bekalan ke kawasan Dusun Tua di Jalan Hulu Langat.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abd Talib berkata, ia bertujuan mengurangkan berlakunya kejadian paip pecah di kawasan itu.

“Bagi jangka masa pendek, kami akan memastikan kerja-kerja pembaikan paip pecah disiapkan dengan kadar segera untuk mengurangkan tempoh masa gangguan kepada pengguna manakala bagi jangka panjang, pemasangan paip baru 600 milimeter (mm) menggantikan paip sedia ada.

“Namun, kekangan daripada pihak berkuasa tempatan (Jabatan Kerja Raya) menyebabkan penangguhan pelaksanaan pemasangan paip baharu.

“Selain itu, paip baharu 700 mm dalam pakej Projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 dan paip baharu 250 mm bermula dari Batu 10 hingga Batu 14 Jalan Hulu Langat turut akan dilaksanakan bagi menggantikan paip,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Razaly Hassan.

Masalah paip pecah di kawasan itu sering berlaku kerana menggunakan paip jenis AC bersaiz antara 150 mm, 200 mm dan 250 mm mudah pecah, usia paip yang melebihi 30 tahun serta laluan kenderaan berat di atas jajaran paip sedia ada di Jalan Hulu Langat.

=EZY=


Pengarang :