SELANGOR

Peneroka sedia bertindak jika ada pihak cuba gagalkan penyelesaian Tanah Ijok

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 MAC: Jawatankuasa Bertindak Rancangan Revolusi Hijau Bukit Cherakah peringkat 2 dan 3 Mukim Ijok bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba menggagalkan usaha penyelesaian tanah yang sudah berlarutan hampir 20 tahun itu.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa, Umar Ali Bashah berkata, sebagai peneroka pihaknya bersyukur atas kejayaan Kerajaan Negeri kini menyelesaikan kemelut panjang yang ditinggalkan sejak era pemerintahan Barisan Nasional (BN) walaupun dijanjikan pelbagai imbuhan yang akhirnya gagal ditunaikan.

“Kita akan ambil tindakan kepada mana-mana pihak yang cuba menghalang usaha penyelesaian yang sedang dilakukan kini.

“Kita sepatutnya bersyukur dan berterima kasih Kerajaan Negeri kini menyelesaikan masalah ini. Setakat kni 863 orang sudah menandatangani perjanjian daripada jumlah keseluruhan 987 peneroka.

“Seramai 358 peneroka sudah meninggal dunia tetapi isu ini masih belum diselesaikan sebelum ini.

“Pemaju sudah berjanji rumah akan siap dalam tempoh 24 bulan. Sekarang sudah dua bulan dan kita nampak tiang rumah telah dinaikkan, maka hanya perlu tunggu 22 bulan. Kalau tidak disiapkan, kita akan kejar pemaju baru sehingga selesai sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Lobi Bangunan Annex hari ini.

Menurutnya, pihaknya masih belum melihat senarai 113 peneroka yang didakwa teraniaya seperti dilaporkan media mutakhir ini sama ada status mereka masih peneroka sah atau sudah hilang kelayakan.

Penyelesaian dikemukakan kepada Kerajaan Negeri menyaksikan setiap peneroka menerima wang tunai RM180,000 dan membina rumah bernilai sehingga RM500,000.

Ini bermakna peneroka memperoleh sehingga RM680,000 dalam bentuk tunai dan aset berbanding tawaran zaman Tan Sri Abu Hassan berjumlah RM360,000 dan tidak ditunaikan.

=EZY=


Pengarang :