SELANGOR

Sasar 500 pesakit jantung terima rawatan SRJNS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MAC: Sembilan pesakit jantung menjalani rawatan jantung di bawah Program Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor (SRJNS) dengan pembiayaan sebanyak RM44,132.20 sehingga 18 Mac selepas tiga minggu dilancarkan pada 26 Februari lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, menerusi SRJNS itu, Kerajaan Negeri menyasarkan 500 pesakit jantung akan menerima manfaat di bawah program itu.

Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM10 juta setahun bagi menjayakan program itu yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Skim ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang lahir di Selangor atau menetap di negeri ini melebihi 10 tahun dan mempunyai pendapatan isi rumah tidak lebih melebihi RM8,000 sebulan.

“Pesakit jantung yang menepati kriteria boleh membuat permohonan kepada pihak Selcare Management Sdn Bhd (SELCARE) yang akan bertindak selaku Third Party Administrator (TPA) untuk mendapatkan ‘Guarantee Letter’ sebelum mendapatkan rawatan di Insitusi Jantung Negara (IJN),” katanya.

Beliau berkata demikian di Sidang Dewan Negeri bagi menjawab pertanyaan Ng Suee Lim-Sekinchan.

Terdahulu, Selangor terus proaktif dalam memberikan kesihatan bersepadu kepada rakyatnya menerusi skim terbaru, Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu bagi membantu pesakit jantung menerima rawatan terbaik memandangkan kos rawatan semakin meningkat ketika ini.

Katanya, sebagai sebuah kerajaan yang peduli rakyat, maka pihaknya mengambil inisiatif untuk membantu pesakit Selangor khususnya dalam kalangan B40 dan M40 untuk mendapatkan perkhidmatan serta rawatan jantung berkualiti dibiayai Kerajaan Negeri.

“Skim itu adalah sebahagian daripada langkah proaktif Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Penjagaan Kesihatan Bersepadu (integrated healthcare scheme) bagi memperluaskan skop perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk rakyat Selangor,” katanya.

=EZY=


Pengarang :