SELANGOR

SeeGem tingkat usaha hijaukan Melawati

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Society of Eco Greater Melawati (SeeGem) akan meningkatkan usaha lebih menghijaukan kawasan Melawati dan mengenal pasti taman awam bagi merealisasikannya.

Pengerusinya, Ir Dr Dhileepan Nair, berkata pendekatan berterusan digerakkan itu adalah bagi meningkatkan kesedaran mengenai pemeliharaan alam sekitar dan kawasan hijau di kalangan orang ramai di Taman Melawati dan sekitarnya.

“SeeGem akan terus menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan dalam memelihara eko sistem saliran dan menggalakkan masyarakat di Taman Melawati mengamalkan gaya hidup berkonsepkan hijau sebagai langkah ke hadapan.

“Kita berusaha menanam pokok sebanyak mungkin di sekitar Taman Melawati tahun ini dan berharap penduduk juga pihak berkaitan turut serta dalam usaha dijalankan ke arah memelihara alam sekitar dan meningkatkan kawasan hijau di sini,” katanya pada pelancaran Hari Menanam Pokok di Taman Komuniti Jalan H1, Taman Melawati, di sini, Ahad lalu.

Pada majlis itu, penaja dan organisasi berkaitan menyokong program dijalankan SeeGem dan menanam lebih kurang 130 anak pokok di Taman Komuniti Jalan H1 dan kawasan kejiranan.

Tidak terkecuali penduduk Taman Melawati turut berkumpul dengan pelbagai barangan antaranya sisa minyak masak, majalah lama, surat khabar dan botol plastik sebagai tanda sokongan.

Beliau berkata, taman mini atau awam adalah kawasan ideal untuk tujuan berkaitan dan berharap semua pihak berusaha juga menjalankan tanggungjawab itu demi kebaikan bersama.

Hari Menanam Pokok itu dianjurkan SeeGem bersama dengan Kelab Rotary Melawati dan Kelab Rekreasi Taman Melawati (TMRC) serta disokong Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Treat Every Environment Special (Trees) juga Persatuan Penduduk Taman Melawati.

SeeGem adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpusat di Taman Melawati yang memberikan sokongan kepada masyarakat untuk mencapai visi untuk mengubah Melawati menjadi kawasan hijau dengan masyarakat mesra alam.

=EZY=


Pengarang :