BERITA UTAMASELANGOR

412 sekolah agama rakyat terima RM10 juta

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 1 APR: Sebanyak 412 Sekolah Agama Rakyat (SAR), di Selangor menerima sumbangan RM10 juta daripada Kerajaan Negeri untuk kemudahan pelajar dan guru.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sumbangan itu sebahagian daripada RM24 juta yang diperuntukan dalam Belanjawan 2018, pada tahun ini.

Katanya, Kerajaan Negeri sedar percambahan institusi pengajian Islam swasta atau persendirian memerlukan bantuan demi menjamin tahap dan kualiti pendidikan.

“Sistem pendidikan Islam adalah aspek terpenting dalam pembangunan umat Islam khususnya bagi melahirkan masyarakat yang memiliki nilai dan jati diri muslim sejati serta berpegang teguh kepada ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pengusaha SAR Selangor, di Masjid Al-Syakirin, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri tuntas memartabatkan kecemerlangan pendidikan akademik seiring pendidikan Islam untuk melahirkan ‘ummatan wasata’ yang berpegang kepada prinsip keadilan serta kesederhanaan seperti ditegaskan dalam al-Quran.

Pada majlis itu, beliau turut mengambil peluang beramah-mesra dengan para hadirin.


Pengarang :