NASIONAL

Anwar: Kenapa Umno takut gabungan saya dengan Tun M?

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 APR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hairan dengan tanggapan pimpinan Umno yang menganggap kerjasamanya bersama Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai satu perkara yang janggal kerana bermusuhan begitu lama.

Beliau berkata, kesediaannya menjalin persahabatan bersama mantan perdana menteri itu diterima dengan baik dengan semangat silaturrahim seperti dinyatakan sebelum ini.

“Saya musykil mengapa Umno begitu takut dengan gabungan Tun Mahathir dan Anwar.

“Muafakat ini juga adalah kerana tekad kami bersama untuk menjana perubahan. Negara kini menjadikan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebagai budaya.

“Skandal skala besar saperti 1MDB dan Felda cuba dilindungi. Maka hanya dengan perubahan kuasa, negara dapat dikemudi berdasarkan Perlembagaan dan hukum,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Pilihan Raya Umum ke-14 adalah kesempatan terbaik bagi rakyat menentukan masa depan negara, menghentikan kezaliman dan membebaskan rakyat daripada segala bentuk penindasan.

Mengikut struktur PAKATAN, Anwar bertindak selaku Ketua Umum sementara Mahathir sebagai Pengerusi.


Pengarang :