GLOBAL

AS musnah keupayaan Syria bina senjata kimia, 71 peluru dipintas

WASHINGTON 15 APR: Pentagon semalam menyatakan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Syria berjaya membedil setiap sasaran yang dikehendaki sekali gus memberi isyarat kepada kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad agar tidak menggunakan senjata kimia pada masa hadapan.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan serangan pada awal pagi itu didakwa berjaya melumpuhkan keupayaan rejim Bashar untuk menghasilkan senjata kimia, menurut pegawai-pegawai AS.

Pentagon tidak mempunyai maklumat berhubung insiden kematian orang awam akibat serangan operasi ketenteraan AS dan sekutunya.

Leftenan Jeneral Kenneth F. McKenzie menyatakan serangan dilakukan tepat dan secara efektif walaupun ada sejumlah infrastruktur senjata kimia Syria masih terselamat.

Sementara itu, AFP melaporkan Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan sistem pertahanan udara Syria berjaya memintas 71 roket yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Barat ke atas rejim Presiden Bashar al-Assad semalam.

“Sejumlah 103 peluru berpandu krus termasuk misil Tomahawk dilancarkan oleh sekutu Barat. Bagaimanapun, 71 peluru berpandu krus berjaya dipintas,” kata pegawai kanan tentera Rusia, Sergei Rudskoi dalam satu taklimat di Moscow.

Barat turut melancarkan sebanyak 12 misil ke sebuah lapangan terbang dekat Damsyik, namun ia gagal memusnahkan fasiliti itu selepas semua roket itu dipintas oleh sistem pertahanan udara Syria.

“Sistem pertahanan udara Rusia yang ditempatkan di wilayah Syria tidak digunakan untuk mengekang serangan misil (Barat),” menurut satu kenyataan daripada Kementerian Pertahanan Rusia.

AS, Perancis dan Britain mengumumkan satu operasi ketenteraan bersama untuk menyerang kerajaan Syria yang dituduh melakukan satu serangan senjata kimia yang mengorbankan lebih 40 nyawa di bandar Douma, dekat Damsyik di Syria.

SUMBER: REUTERS/ AFP


Pengarang :