NASIONAL

Ayuh, wanita! Undi demi masa depan negara

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 20 APR: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menggesa pengundi wanita turun padang dan mengubah nasib, pada Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14).

Wan Azizah berkata, golongan wanita boleh mengubah masa depan memandangkan negara ini mempunyai hampir 7.4 juta pengundi wanita berdatar.

Katanya, mengikut sejarah negara, wanita turut mempunyai watak gigih, bersemangat, berprinsip dan berani bangkit demi keadilan.

“Kisah Shamsiah Fakeh yang sanggup menentang penjajah dengan menjual barangan kemasnya bagi menghantar rombongan kemerdekaan ke London antara bukti peranan wanita tidak boleh diperlekehkan.

“Sebenarnya wanita adalah ‘Queenmaker’, pada PRU14 akan datang, rebutlah peluang yang datang ibarat emas ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, pagi tadi.

Hadir sama, Ketua Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN), Zuraida Kamaruddin dan Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.

Siti Hasmah dalam sidang media sama turut menggesa suri rumah tangga supaya turun mengundi untuk masa depan negara.

“Pilihlah yang terbaik untuk diri dan keluarga kita, turun pada 9 Mei bagi mengubah nasib negara ke arah lebih baik,” katanya.


Pengarang :