NASIONAL

BERSIH 2.0 persoal syarat tambahan SPR

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 APR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mempertikai keperluan dan rasional di sebalik syarat tambahan kempen pilihan raya yang diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Badan pendesak pembaharuan pilihan raya itu mempersoal alasan SPR ekoran penyelerasan syarat berkenaan ketika terdapat masalah lain yang lebih penting harus diselesaikan.

“Memandangkan ada beberapa isu lain lebih besar berhubung pilihan raya yang memerlukan perhatian SPR, misalnya percanggahan dalam daftar pemilih, kerajaan sementara, undi pos dan pengundian awal, amat mengejutkan apabila SPR lebih mementingkan soal bahan kempen parti politik.

“Tidak timbul masalah untuk memaparkan individu lain dalam bahan kempen parti politik dalam 13 pilihan raya sebelum ini.

“Jadi, kenapa tiba-tiba syarat tambahan ini diperkenalkan sekarang?,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, syarat tambahan pilihan raya yang diperkenalkan SPR antara lain menggariskan supaya hanya gambar dua pemimpin politik daripada parti masing-masing yang berstatus Presiden dan Timbalan Presiden bersama gambar calon dibenarkan pada poster kempen.

“Adakah peraturan baru seperti poster, papan tanda dan bunting ceramah menampilkan panelis selain tiga individu yang dibenarkan SPR, termasuk yang memaparkan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di sekitar Kuala Lumpur akan diturunkan ? Sedangkan beliau hanya bertanding di Putrajaya.

“Sekiranya dilaksanakan, peraturan ini tidak akan membenarkan gambar (Pengerusi Pakatan Harapan) Tun Dr Mahathir Mohamad dan (Ketua Umum PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim di semua kawasan yang ditandingi HARAPAN di bawah logo PKR,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dalam kenyataan baru-baru ini dilaporkan berkata, penggunaan gambar pemimpin utama selain Presiden dan Timbalan Presiden parti adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Beliau mendakwa, bahan kempen terbabit boleh digabungkan atau diletakkan secara berasingan bagi gambar kedua pemimpin utama parti politik.

“Penyelerasan itu secara tidak langsung dapat memastikan segala aktiviti dijalankan calon parti politik berjalan dalam keadaan aman dan lancar,” katanya.


Pengarang :