NASIONAL

BERSIH ajak SPR debat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 APR: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) mencabar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berdebat secara terbuka berkenaan pilihan raya, di negara ini.

Koordinator BERSIH, Chan Tsu Chong melalui laman rasmi twitter BERSIH berkata, Mohd Hashim perlu berdebat secara terbuka berkenaan ketelusan proses pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Debat ini mesti disiarkan secara langsung melalui media arus perdana,” katanya.

Tsu Chong juga menyatakan kebimbangan jumlah peratusan mengundi rendah, pada 9 Mei ini walaupun diumumkan sebagai cuti umum.

Melalui kajian BERSIH, peratusan mengundi sebanyak 90 peratus diperlukan, pada PRU14 bagi membentuk suara rakyat, sekali gus menentukan masa depan Malaysia.

“Semua majikan di negara ini perlu mempertimbangkan kelulusan cuti tambahan untuk pekerja yang lokasi mengundinya jauh, terutama mereka terpaksa pulang ke Sabah dan Sarawak.

“BERSIH juga memohon majikan yang mempunyai pekerja warganegara Malaysia di Singapura, Brunei dan Selatan Thailand turut memberi sokongan kepada mereka yang berhasrat membuang undi,” katanya.

Sebelum itu, Penasihat Undang-undang SPR, Azizan Md Arshad dalam satu kenyataannnya bertegas supaya masyarakat menghormati keputusan SPR yang menetapkan 9 Mei sebagai tarikh mengundi.

Azizan turut menjelaskan kesemua anggota suruhanjaya yang diketuai pengerusi SPR membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan pelbagai faktor.

Katanya, tidak ada yang dibuat SPR berdasarkan kepada pemahaman sendiri. Semua itu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, akta pilihan raya, peraturan dan sebagainya. Semua telah dijelaskan dan proses (pilihan raya) itu mesti dilalui semua pengundi.

Selain hari pengundian bagi PRU14 pada 9 Mei, SPR menetapkan tarikh penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal ialah 5 Mei.


Pengarang :