BERITA UTAMAEKONOMISELANGOR

Invest Selangor giat promosi SIBS 2018

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 APR: Agensi penggerak pelaburan negeri, Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) giat meneruskan gerak kerja bagi mempromosikan penganjuran Selangor International Business Summit (SIBS) 2018 ke negara Asean.

Menerusinya, delegasi yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris mengadakan lawatan ke beberapa buah negara antaranya Vietnam, Laos dan Cambodia, ketika ini.

SIBS 2018 bakal diadakan, pada 6 hingga 16 September ini, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), Kuala Lumpur.

Hasan berkata menerusi penganjurannya, SIBS mampu menjadi landasan strategik untuk pemasaran, kerjasama dan perkongsian serta maklumat berkenaan perkembangan teknologi terkini, di seluruh dunia.

“Sebagai pintu masuk ASEAN dan Hab Perdagangan Global, Selangor merupakan titik pusat penting bagi perniagaan domestik dan antarabangsa yang ingin membina atau mengukuhkan kehadiran mereka di ASEAN.

“Bagaimana kami berusaha ke arah mencapai visi ini, SIBS mewujudkan platform untuk syarikat multinasional tempatan dan asing serta perusahaan kecil dan sederhana, mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka,” katanya.

Tahun lalu, SIBS mencatatkan sebanyak 22,071 pelawat, sekali gus menjana transaksi sebanyak RM204.2 juta.

“Ini pencapaian yang besar, bukan hanya untuk negeri Selangor, tetapi untuk Malaysia secara keseluruhannya.

“Kami akan menggandakan usaha kami tahun ini, dan menyasar untuk mencapai 25,000 pengunjung dengan nilai transaksi sebanyak RM250 juta,” katanya.

Agensi Kerajaan Negeri itu akan memberi tumpuan kepada sektor makanan dan minuman untuk acara akan datang, termasuk produk dan perkhidmatan halal, teknologi makanan, sains makanan dan perkhidmatan makanan.

Sembilan organisasi sokongan berjanji menjadi sebahagian daripada sidang kemuncak, termasuk Persekutuan Pengilang Malaysia, Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia, dan Persatuan Rangkaian Malaysia.


Pengarang :