NASIONAL

Kempen PRU14, SPR larang Pakatan guna gambar Tun M

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa tidak membenarkan Pakatan menggunakan gambar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) ini.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, keputusan itu diputuskan SPR ekoran kegagalan komponen itu membuat pendaftaran di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Beliau berkata, Pakatan hanya dibenarkan menggunakan gambar calon dan Presiden parti masing-masing untuk berkempen.

“Kita rasakan larangan ini adalah tidak patut. Sepatutnya pemimpin kita adalah hak parti masing-masing. Mengapa SPR melarang? Ia bukan urusan SPR untuk menentukan larangan ini.

“SPR juga memaklumkan, gambar Ketua Negeri atau Menteri Besar negeri masing-masing boleh digunakan.

“Tetapi kita lihat sekarang, banyak negeri yang menyalah guna kebenaran ini, apabila gambar Menteri Besar contohnya di Negeri Sembilan, Johor dan Ketua Menteri di Melaka dipaparkan di billboard milik pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ini penyalahgunaan kuasa, apabila gambar pemimpin Umno Barisan Nasional dan perkara ini nampaknya SPR tidak membuat sebarang larangan, lebih-lebih laagi belum tempoh berkempen pilihanraya pun,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media bersama pimpinan Pakatan di Ibu Pejabat Ketua Pembangkang, di Bangunan Parlimen petang ini.

Pada 1 Mac lalu, Pakatan memperoleh kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk membenarkan ROS menjawan permohonan komponen itu untuk mendaftarkan Pakatan Harapan sebagai pertubuhan berdaftar.

=EZY=


Pengarang :