NASIONAL

Khabar gembira Najib wujudkan persepsi gula-gula PRU

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 APR: Pengumuman sembilan khabar gembira kepada penjawat awam dan pesara kerajaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menimbulkan persepsi ia sebenarnya gula-gula pilihan raya.

Penganalisis dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, hal itu kerana pengumuman terbabit hampir dengan pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) serta bertujuan meraih undi penjawat awam juga guru.

“Mungkin pengumuman Najib ini mengambil kira faktor keluhan penjawat awam yang merasai bebanan peningkatan kos sara hidup, kerana bukan semua mereka menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Jadi, ini peluang untuk meraih sokongan daripada penjawat awam supaya terus mendukung dan memastikan parti kerajaan terus mentadbir negara,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Beliau berpendapat, pengumuman Najib itu dianggap tergesa-gesa kerana menunda Mesyuarat Kabinet kepada Jumaat dan ia di luar kebiasaan kerajaan.

“Pengumuman kenaikan gaji tahunan (KGT) itu mungkin boleh memberi kelegaan kepada penjawat awam tetapi ia bukan langkah penyelesaian jangka panjang dan menyeluruh.

“Sepatutnya, kerajaan memikirkan untuk menyelesaikan masalah lebih besar seperti isu kenaikan harga barang yang terus berlaku,” katanya.

Beliau berkata, pengumuman berkaitan mewujudkan lapisan kenaikan pangkat Gred 56 bagi Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Khusus bagi penjawat yang berada lebih lima tahun di Gred 54 perlu diperluaskan ke peringkat institut pengajian tinggi awam (IPTA).

“Ini kerana ada pensyarah lulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) masih berada di tangga Gred 52 dan 53 walaupun berkhidmat lebih 15 tahun,” katanya.


Pengarang :