AGAMASELANGOR

Nasyid sebagai medan dakwah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 5 APR: Sebanyak 27 sekolah dari seluruh Selangor menyertai Pertandingan Nasyid Kamil Menengah Selangor anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai medan dakwah melalui seni bidang suara.

Mulai tahun lalu, program anjuran Jawatankuasa Teknikal Nasyid Kamil, Unit Pembangunan Kemanusiaan, BPI JAIS itu melakukan transformasi dalam memposisikan ia sebagai program kokurikulum dakwah utama dalam bidang kesenian Islam peringkat negeri itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Anas Ayob berkata, nasyid juga memainkan perasan besar dalam dakwah Islam.

“Nasyid boleh menjadi satu gelombang besar mendidik dan mengajak manusia kembali kepada tauhid kemanusiaan dan melihat kebesaran Allah SWT.

“Melalui lirik disampaikan secara tidak langsung dapat menyampaikan keindahan Islam kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Saringan Nasyid Kamil Selangor, di Dewan Pro Canselor UNISEL, di sini.

Pertandingan itu disertai 54 kumpulan nasyid dari Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITST), Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) dan Sekolah Agama Menengah (SAM).

Melalui saringan itu, sebanyak lapan kumpulan nasyid lelaki dan perempuan akan berentap di peringkat akhir Karnival Nasyid Kamil Selangor yang bakal berlangsung, di MITS Klang, Alam Impian, pada 27 dan 29 April ini.

Empat kumpulan nasyid perempuan yang berjaya ke peringkat akhir adalah SAMT Tengku Ampuan Jemaah Shah Alam, SAMT Tengku Ampuan Rahimah, SAMT Sultan Hisamuddin Kampung Jawa dan SAM Nurul Iman.

Manakala empat lagi kumpulan dari kategori lelaki adalah dari MITS Kuala Langat, SAMT Tengku Ampuan Jemaah Shah Alam, SAMT Sultan Hisamuddin Kampung Jawa dan SAM Bandar Baru Salak Tinggi.


Pengarang :