NASIONAL

Manifesto BN gagal tingkat martabat wanita

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 9 APR: Manifesto Barisan Nasional (BN) gagal memfokuskan agenda berkebajikan wanita, kata Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Haniza Talha.

Beliau berkata, teras pelaksanaan manifesto BN terhadap golongan itu hanya bersifat retorik dan tidak dinyatakan secara menyeluruh.

“Berbanding komitmen dinyatakan PAKATAN dalam manifesto gabungan itu, kita jelas komited memberi tumpuan terhadap kebajikan wanita dilaksanakan menerusi pelaksanaan dasar baru.

“Tumpuan itu dinyatakan di bawah dasar bersifat komprehensif yang menetapkan suri rumah juga perlu dibantu dengan memperkenalkan caruman simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Ia bersifat jelas berbanding BN yang langsung tidak memberikan tumpuan terhadap dasar dan hala tuju baru yang mahu dilaksanakan untuk memperkasakan golongan wanita seluruh negara,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak melancarkan manifesto parti itu yang bertajuk ‘Bersama BN, Hebatkan Negaraku’, pada Sabtu.

Bagaimanapun dalam pengumuman itu, Najib tidak menyentuh pelaksanaan dasar baru yang bakal diumumkan untuk golongan wanita dan ibu tunggal.

Najib dilapor berkata, BN kononnya akan terus memperkasakan dan memberi keutamaan kepada ibu serta wanita seluruh negara.


Pengarang :