NASIONAL

Merdeka Center: Undi Melayu berpihak kepada PAKATAN

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 APR: Kajian Merdeka Center mendapati hampir lapan peratus undi kaum Melayu berubah daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), pada 9 Mei nanti.

Pengarah Program Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata, BN Selangor diantara negeri yang turut terkesan dengan kejatuhan peratusan undi iaitu 17.2 peratus.

“Jumlah undi kaum Melayu kepada BN Selangor pada PRU13 ialah 58.5 peratus, namun daripada kajian, ia dipercayai jatuh kepada 41.3 peratus.

“Manakala BN Johor akan melihat penurunan terbesar iaitu 20.9 peratus, pada PRU13, undi kaum Melayu kepada BN di negeri itu ialah 81.8 peratus dan kali ini dijangka turun sehingga 60.9 peratus.

“BN Perak turut mengalami situasi sokongan kaum Melayu yang semakin menurun, daripada 62.9 peratus ia akan jatuh kepada 54.4 peratus,” katanya ketika seminar pandangan pilihan raya semalam.

Kaji selidik bermula 3 hingga 9 April itu melibatkan 1,206 pengundi di seluruh Semenanjung Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

Responden dipilih secara rawak berdasarkan etnik, umur, jantina dan kawasan Parlimen.

Ibrahim tidak menafikan wujud ‘tsunami Melayu’ seperti diuar-uarkan media sosial.

“Tsunami Melayu ini mungkin akan tersebar di seluruh negeri kerana setiap negeri mempunyai sejarah politik tempatan tersendiri dan juga melihat perkembangan pembangunan setempat,” katanya.


Pengarang :